IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Monday, January 10, 2011

4 Usul Naik Taraf Masyarakat Siam Belum Diluluskan Mesyuarat Perwakilan PSM

Saudara Pengarang,

BERITA bertajuk Empat usul dilulus naik taraf masyarakat Siam yang disiarkan pada 11 Julai 2005 di ruangan Utara, Utusan Malaysia adalah berkaitan.


Saya amat tertarik dengan empat usul yang diumumkan oleh Senator Siw Chun a/p Eam, Presiden Persatuan Siam Malaysia (PSM).


Saya mewakili Persatuan Belia Thai Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Senator Siw Chun di atas keprihatinan beliau terhadap kebajikan dan kemajuan masyarakat Siam Malaysia.


Pada pandangan saya, sekiranya tindakan menaik taraf masyarakat Siam Malaysia dari segi pendidikan dan pertanian dilakukan lebih awal lagi iaitu semasa beliau baru dilantik sebagai Senator, saya rasa masyarakat Siam mungkin mendapat lebih manfaat daripadanya.


Persoalannya ialah kenapa baru sekarang, setelah tempoh penggal pertama Senator hampir tamat barulah membuat usul untuk menaik taraf masyarakat Siam Malaysia?


Saya setuju dengan usul pemilihan anggota Dewan Negara (Senator) yang mewakili masyarakat Siam diputuskan oleh PSM.


Saya akan berasa lebih setuju sekiranya pemilihan Senator ini juga perlu mendapat pandangan dan sokongan daripada lain-lain persatuan yang mewakili masyarakat Siam antaranya Persatuan Thai Buddhist Malaysia dan Persatuan Belia Thai Malaysia yang juga merupakan pertubuhan peringkat kebangsaan bagi mewakili masyarakat Siam Malaysia.


Saya juga amat setuju sekiranya pandangan ketua-ketua Cawangan UMNO juga diambil kira di mana lebih kurang 50 cawangan UMNO yang diwakili 100 peratus ahli-ahli berketurunan Siam di Kedah, Perlis dan Perak.


Senator Siw Chun selaku Ahli Dewan Negara seharusnya menubuhkan satu gabungan yang diwakili oleh semua pemimpin masyarakat Siam bagi memilih calon Senator bagi mewakili masyarakat Siam di Parlimen.


Kesempatan ini juga saya ingin menjelaskan di sini bahawa usul-usul yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan mana-mana cawangan PSM tidak boleh diiktiraf sebagai usul PSM sekiranya usul-usul tersebut belum dibentang dan diluluskan oleh Mesyuarat Perwakilan Tahunan PSM yang akan diadakan tidak lama lagi.


Empat usul yang disiarkan hanya merupakan usul-usul yang telah diluluskan di peringkat PSM cawangan Perlis sahaja. - MANIT A/L SEE NAM, Presiden PBTM Merangkap Ahli Dewan Tertinggi MBM, Baling, Kedah.


Sumber: Utusan Malaysia; Forum; 24 Mei 2008

No comments:

Post a Comment