KANGAR 25 Dis. - Persatuan Siam Malaysia mendesak Kerajaan Thailand menghentikan segera segala tuduhan terhadap Malaysia, sebaliknya menumpukan perhatian menyelesaikan isu pergolakan di wilayah selatan negara itu tanpa menuding jari kepada pihak lain.
Presiden persatuan tersebut, Senator Siw Chun Eam menegaskan, Thailand tidak sepatutnya mengheret Malaysia dalam masalah dalamannya apatah lagi segala tuduhannya selama ini tidak berasas sama sekali.Menurut beliau, pemimpin Thailand seharusnya bertindak bijak dan profesional dalam menangani masalah keganasan di wilayah selatan negara itu.
``Tindakan Kerajaan Thailand yang menuduh Malaysia terlibat dalam pergolakan di selatan negara itu boleh merenggangkan hubungan antara kedua-dua negara yang lama terjalin,'' katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Rabu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Sutham Saengprathum mendakwa mempunyai gambar-gambar yang membuktikan pihak militan di negara itu mendapat latihan ketenteraan di hutan-hutan Malaysia.
Bagaimanapun, akhbar bahasa Inggeris di negara itu, `The Nation' memaparkan bahawa gambar yang dikatakan menunjukkan puak pemisah Islam sedang menjalani latihan ketenteraan di Malaysia, sebenarnya rakaman aksi kanak-kanak pada hari sukan di sebuah sekolah di Pattani.
Siw Chun berkata, tindakan Kerajaan Thailand yang membuat tuduhan melulu terhadap Malaysia berdasarkan gambar yang diperoleh itu, dianggap serius.
Tegas beliau, para pemimpin Thailand sepatutnya menjalankan siasatan rapi terhadap gambar atau laporan yang diterima apatah lagi yang melibatkan sentimen negara jiran.
``Kita dapati para pemimpin Thailand ini mudah melenting dan tidak membuat usul periksa terlebih dahulu terhadap sesuatu laporan,'' katanya.
Jikalah laporan itu benar sekalipun, tambah beliau, perkara itu perlu diselesaikan menerusi saluran kerajaan dengan kerajaan, bukan melalui media sebagaimana yang dilakukan oleh Thaksin atau Sutham.
Beliau juga hairan dengan sikap Thailand yang tidak menggunakan pendekatan berunding dengan Malaysia dalam menangani isu keganasan di wilayah selatan negara itu.
``Saya percaya Malaysia tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama kerana selama ini kita memang memerangi sebarang bentuk keganasan di negara ini,'' katanya.
Sumber: Utusan Malaysia; Muka Hadapan; 24 Mei 2008
No comments:
Post a Comment