IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Monday, January 10, 2011

Masyarakat Siam Tidak Dipinggir

Masyarakat Siam tidak dipinggir

JITRA 3 Mac - Masyarakat Siam di sini tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam arus pembangunan yang semakin rancak di kawasan ini.


Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Datuk Saad Man berkata, masyarakat Siam kini maju seiring dengan masyarakat keturunan lain dalam semua bidang termasuk pelajaran, sosial dan ekonomi.


Menurutnya, kerajaan selama ini tidak pernah mengabaikan masyarakat Siam sebaliknya sentiasa dibantu supaya mereka tidak ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.


Malah katanya, terdapat di kalangan generasi muda masyarakat Siam yang berjaya dalam bidang pelajaran dan perniagaan.


''Saya berbangga dengan masyarakat Siam di daerah ini yang tidak pernah merendah diri sebaliknya berani bersaing dengan masyarakat lain untuk mengubah taraf hidup mereka," katanya pada majlis pertemuan dengan masyarakat Siam di Kampung Sungai Baru di sini malam tadi.


Dalam pada itu, Saad mengingatkan masyarakat Siam supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah parti pembangkang yang cuba menghasut mereka membenci kerajaan.


Katanya, masyarakat Siam sepatutnya bersyukur dengan nikmat yang dikecapi sekarang hasil pemerintahan kerajaan BN yang cekap sejak negara mencapai kemerdekaan.


Jelasnya, berdasarkan rekod pemerintahan kerajaan BN selama ini, adalah wajar kerajaan itu perlu terus diberi kepercayaan untuk mentadbir negara ini.


''Kerajaan BN terbukti membawa banyak perubahan dan pembangunan di negara ini termasuk membela nasib masyarakat Siam," ujarnya.


Sumber: Utusan Malaysia; Utara; 24 Mei 2008 

No comments:

Post a Comment