IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Wednesday, January 5, 2011

Minoriti Tidak Terpinggir, Kata Masyarakat Siam

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Masyarakat Siam, antara kumpulan minoriti di negara ini, hari ini tampil membidas puak pelampau India kerana membuat tuduhan berbentuk fitnah kononnya wujud penghapusan etnik di Malaysia. 

"Masyarakat Siam kesal dengan tuduhan Hindraf kerana kami sebagai masyarakat minoriti tidak dipinggirkan dalam pelbagai program pembangunan," kata Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan, Eeh Chot Cha Chan.

Katanya tuduhan yang dilempar kumpulan pelampau kaum India dikenali Hindraf harus dihentikan kerana ia boleh menjejaskan perpaduan kaum.

Eeh Chot berkata kebajikan masyarakat Siam yang berjumlah 60,000 di seluruh negara dengan 13,000 daripadanya di Kelantan sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan keadilan sosial baik dalam program pembangunan, kebudayaan dan adat resam.

"Perayaan Songkran dan Loy Krathong mendapat pengiktirafan kerajaan dengan diberikan peruntukan besar setiap tahun," katanya.

Di Johor, anggota Dewan Undang Negeri kawasan Kahang, S.Ramis menasihati masyarakat India jangan terperangkap dengan pembohongan yang dilempar oleh Hindraf.

Mereka harus melihat gambaran yang lebih besar sebelum menerima dakwaan bahawa mereka dipinggirkan daripada pembangunan negara, katanya.

"Isu kuil dan juga sekolah Tamil yang didakwa oleh Hindraf melalui apa juga medium termasuk SMS adalah tidak benar. Jangan terperangkap," katanya.

Menurut beliau tidak ada masyarakat di negara ini yang berpuas hati dengan apa yang mereka ada termasuk Melayu dan Cina namun mereka menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakannya.

MIC Johor, katanya, akan pergi ke peringkat akar umbi untuk memberi penerangan kepada masyarakat India mengenai perkara yang dibangkitkan oleh Hindraf.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Datuk Shahrir Samad berkata adalah tidak wajar bagi Hindraf untuk menjadikan dakwaan mereka sebagai isu politik dan membawanya ke peringkat antarabangsa kerana pihak luar akan mengambil kesempatan untuk menonjolkan agenda mereka.

Beliau berkata bahawa dengan membawa isu itu ke peringkat antarabangsa, ia menjadi lebih sukar untuk diselesaikan.

"Kita tidak tahu latar belakang pihak luar dan apa agenda mereka," katanya.

-- BERNAMA pada 7.12.2007

No comments:

Post a Comment