IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Wednesday, January 12, 2011

CITRAWARNA 2008; 'FLORA AND FAUNA OF MALAYSIA'

50,000 DIJANGKA SAKSI PERARAKAN CITRAWARNA

PUTRAJAYA: Perarakan Citrawarna ke-10 yang akan berlangsung di Persiaran Putrajaya di sini, malam ini, dijangka menarik perhatian kira-kira 50,000 pelancong tempatan dan asing.

Program bertemakan ‘Flora and Fauna of Malaysia’ akan dirasmikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, pada jam 9 malam.

Antara kenamaan yang dijangka hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Seramai 1,600 peserta terbabit dalam persembahan gilang-gemilang itu yang menampilkan pertunjukan kebudayaan semua kaum di negara ini, seni mempertahankan diri dan persembahan balet berbasikal bermula jam 6.30 petang serta disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan laser, bunga api dan pertunjukan artis terkenal tanah air seperti Noryn Aziz, Nikki dan Reshmonu yang akan dimulakan pada jam 8.30 malam.

(Sumber: Harian Metro; Setempat; 24 Mei 2008)


CITRAWARNA DILANCAR PENUH MERIAH

PUTRAJAYA 24 Mei – Seramai 50,000 orang termasuk pelancong asing membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan majlis pelancaran Citrawarna Malaysia 2008 yang diadakan dengan penuh meriah dan warna-warni, di sini malam ini.

Acara yang diadakan untuk kali ke-10 sejak 1999 bagi menggantikan Pesta Malaysia itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut memeriahkan acara tahunan itu ialah Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidon; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan timbalannya, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib.

Selain itu, kira-kira 600 tetamu antarabangsa termasuk wartawan, jurugambar dan ejen pelancongan hadir memeriahkan acara yang bertemakan Alam Flora dan Fauna Malaysia.

Orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya bermula pukul 6.30 petang lagi bagi menyaksikan pelancaran Citrawarna 2008 itu.

Majlis pelancaran yang bermula pukul 9 malam itu dimulakan dengan pertunjukan lampu berwarna-warni yang diselang seli oleh aluan muzik yang menggambarkan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya di negara ini.

Ia kemudiannya diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat tempatan, teater dan pertunjukkan laser menggunakan teknologi terkini serta aksi lawak oleh badut.

Seramai 1,600 peserta mengambil bahagian dalam persembahan kebudayaan yang melibatkan pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli, Punjabi, Portugis dan Siam serta pribumi Sabah dan Sarawak.

Pada majlis itu juga, Najib melepaskan konvoi lebih 100 buah kereta ke Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu bagi memeriahkan sambutan Citrawarna Malaysia 2008 peringkat negeri terbabit.

Kemuncak acara ialah pertunjukan bunga api pelbagai corak dan warna selama lima minit.

Citrawarna itu juga disiarkan secara langsung di negara Australia, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura dan Taiwan.

(Sumber: Utusan Malaysia; Muka Hadapan; 25 Mei 2008)


LEBIH 6,000 SAKSI PERARAKAN CITRAWARNA KE-10

PUTRAJAYA: Lebih 50,000 hadirin termasuk pelancong asing membanjiri Persiaran Putrajaya di sini, malam tadi untuk menyaksikan Perarakan Citrawarna Ke-10 bertemakan Keindahan Flora dan Fauna Malaysia. 

Perarakan itu dirasmikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Turut berangkat Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Sekumpulan 1,600 wakil media asing dan lebih 2,500 ejen pelancongan dari luar negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Mesir, Perancis, Turki, Itali, Belanda, Australia dan Rusia turut menyaksikan perarakan unik yang menggabungkan budaya Melayu, Cina, India, etnik Sabah, Sarawak dan Siam itu.

Perarakan mulai jam 9 malam oleh lebih 1,500 peserta dari seluruh negara itu turut disiar secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perarakan didahului pelbagai segmen menarik seperti pertunjukan tarian kebudayaan, fesyen, seni mempertahankan diri, wayang kulit dan persembahan beca berhias seawal jam 6.30 petang.
Turut dipersembahkan ialah paluan gendang oleh 100 peserta dan tarian pelbagai kaum serta Orang Asli seperti 'Sewang', 'Ashik' dan 'Pelanduk'.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tanah air termasuk Reshmonu, Nikki dan Noryn Aziz serta pertunjukan bunga api selama 10 minit.

Pada akhir perarakan itu, Timbalan Perdana Menteri melepaskan 250 peserta konvoi berkereta, termasuk pelancong asing, yang akan menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia.

Persembahan Citrawarna kali ini turut disiarkan secara langsung di Australia, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura dan Taiwan.

(Sumber: Berita Harian; Isnin 26 Mei 2008)



No comments:

Post a Comment