IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Wednesday, January 5, 2011

Masyarakat Siam janji sokong BN

PENDANG 28 Jan. - Masyarakat Siam berjanji akan memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 nanti.

Presiden Persatuan Siam Malaysia, Senator Siw Chun Eam berkata, masyarakat Siam di negara ini akan menyokong siapa sahaja calon BN yang dipilih untuk bertanding.


"Prinsip kita ialah utamakan parti dan menolak pihak yang memainkan isu calon, bagi menjamin BN memenangi pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat perwakilan ke-8 persatuan itu oleh Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini, hari ini.


Siw Chun berkata, masyarakat Siam tidak mempunyai alasan untuk menolak BN yang selama ini membela dan tidak pernah mengetepikan hak mereka walaupun mereka cuma merupakan kaum minoriti di negara ini.


Contoh"Saya yakin dan percaya masyarakat Siam akan menggunakan minda yang waras untuk menilai baik dan buruk nasib mereka di bawah pemerintahan BN," katanya dengan mengambil contoh nasib masyarakat Siam di Kelantan yang dibela oleh BN walaupun negeri itu diperintah pembangkang.


Menurutnya, hampir 40 peratus daripada 60,000 masyarakat Siam di negara ini layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini.


Siw Chun berkata, kecuali BN, parti lain belum tentu akan membela nasib masyarakat Siam sebagaimana yang dibuktikan BN sejak negara mencapai kemerdekaan.


"Kita berjanji akan menyokong BN selamanya dan komited untuk mengekalkan perpaduan sebagaimana yang terjalin sehingga negara mencapai kemakmuran pada hari ini," katanya.


Mahdzir dalam ucapannya mengumumkan pemberian bantuan tahunan sebanyak RM400,000 kepada persatuan itu tahun ini, iaitu tambahan sebanyak RM100,000 berbanding tahun sebelumnya.


Tambahan bantuan itu antara lain akan membolehkan persatuan tersebut mengubah suai bangunan dua tingkat berharga RM300,000 yang dibeli di Alor Star untuk dijadikan pejabat.
- Bernama


Sumber: Utusan Malaysia; Politik; 28 Junuari 2008

No comments:

Post a Comment