IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Thursday, December 30, 2010

Jejak Ajaran Buddha Di Malaysia

RENCANA Jampi Siam Lawan Jampi Melayu yang muncul dalam ruangan ini minggu lalu mendapat perhatian ramai pembaca di kalangan orang Buddha dan orang Islam sekali gus. Tidak disangka orang Siam di Malaysia yang berjumlah tidak seberapa itu turut mengikuti tulisan penulis. Setakat semalam sebanyak 22 e-mel diterima. Beberapa e-mel mereka akan disiarkan dalam ruangan E-mel Daripada Pembaca, Mingguan Malaysia, Ahad.

Yang anehnya ramai juga orang Islam mengirim e-mel kepada penulis untuk membincang isu agama Buddha yang disentuh oleh penulis minggu lepas. E-mel terbaik dikirim oleh seorang pakar agama Buddha, Dr. Mohammed Yusoff Ismail (myis@pkrisc.cc.ukm.my). E-mel Dr. Mohammed Yusoff Ismail disiarkan sepenuhnya di bawah ini.

Beliau menulis, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada saudara kerana telah menulis rencana bertajuk Jampi Siam Lawan Jampi Melayu (Utusan Malaysia 27 April 2001). Saya rasa artikel seperti ini dapat memberi sedikit kefahaman tentang masyarakat Siam dan agama Buddha yang diamalkan oleh mereka. Sebenarnya bidang agama Buddha dan masyarakat minoriti Siam menjadi minat saya semenjak tahun 1977, (MA dan PhD saya masing-masingnya dari Monash University dan Australian National University adalah berkenaan dengan orang Siam di Kelantan dan agama Buddha; tesis kedoktoran saya diasaskan kepada kerja lapangan selama dua tahun tinggal bersama dengan bikkhu Siam di biara di Kelantan).

Saya juga telah menulis beberapa makalah dan sebuah buku berkenaan dengan organisasi sosial agama Buddha di Kelantan, juga tentang ilmu perbomohan Siam dalam konteks penerimaan orang Melayu. Artikel tersebut bertajuk Pengaruh Siam dan Buddha terhadap sistem kepercayaan tradisional orang Melayu Kelantan. (Akademika 49 (Julai) 1996: 23-37). Kalau saudara Astora berminat saya boleh kirimkan satu salinan makalah tersebut. Dalam semua penulisan yang diterbitkan oleh saya telah menggunakan istilah bikkhu untuk menggantikan sami kerana istilah bikkhu adalah lebih tepat. Dari segi etimologinya istilah tersebut berasal daripada perkataan Pali bhikkhati bermakna pemberian atau sedekah kerana gaya hidup golongan bikkhu ialah menerima sedekah daripada orang awam; tidak berumahtangga annagaram - bahkan mereka tidak boleh berkahwin, kallau berkahwin mesti bercerai dahulu sebelum boleh ditahbiskan menjadi bikkhu. Istilah bikkhu juga digunakan dengan meluas di Indonesia, terutama di bahagian tertentu Pulau Jawa menganut agama Buddha.

Istilah sami yang digunakan oleh DBP sebenarnya kurang tepat. Sami adalah terjemahan daripada istilah Hindu yang bermakna priest (yang boleh berkahwin dan yang mempunyai cara hidup yang jauh berbeza daripada gaya hidup seorang bikkhu). Bikkhu diterjemahkan kepada monk dalam bahasa Inggeris dan ini selari dengan gaya hidup mereka yang celibate iaitu tidak berkahwin dan tinggal dalam kawasan yang berjauhan dengan penduduk awam.

Istilah kuil juga ada sedikit kesilapan dalam penggunaan umumnya, kerana istilah ini lebih merujuk kepada temple, sedangkan tempat tinggal bikkhu dipanggil vihara dalam bahasa Pali. Dalam bahasa Indonesia biara digunakan. Saya menggunakan istilah biara dalam penulisan saya supaya dapat dibezakan daripada kuil. Biasanya di kuil tidak ada agamawan yang bermastautin di sana seperti bikkhu yang menetap di biara. Persatuan Buddhist Malaysia juga menggunakan istilah bikkhu dan biara secara meluas.

Istilah tok ca adalah istilah tidak formal yang biasa digunakan oleh orang Melayu untuk merujuk golongan bikkhu. Selain tok ca, istilah tok raja merupakan terjemahan daripada perkataan phra. Istilah phra digunakan dengan meluas oleh orang Siam untuk merujuk kepada bikkhu. Orang Siam sendiri tidak menggunakan istilah tok ca atau tok raja sebagai ganti nama kedua kepada bikkhu. Sebaliknya mereka biasanya menggunakan istilah Phor Luang, Than atau Khun kepada bikkhu bergantung kepada kedudukan mereka dalam hierarki Sangha dan kelulusan dari segi tahap pengajian agama (gred barian, Nak tham 1 hingga 3).

Berkenaan dengan istilah Sangha; istilah ini merujuk kepada Persaudaraan Bikkhu (Brotherhood of Monks atau Buddhist Order of Monks). Dalam sistem agama Buddha, ada tiga perkara yang menjadi asas kepada kepercayaan dan amalan ritualnya, iaitu Buddha, Dharma dan Sangha. Yang pertama itu ialah Sang Buddha sendiri sebagai Guru Agung; yang kedua ialah gagasan ajarannya, iaitu Dharma termasuk Tripitaka (yang saudara sebutkan) dan Peraturan Vinaya atau Patimokkha (iaitu 227 hukum atau syarat yang mesti dipatuhi untuk menjadi seorang bikkhu).

Yang ketiga ialah Sangha; kesemua mereka yang telah ditahbiskan (ordained) menjadi bikkhu tergolong ke dalam majlis persaudaraan yang dinamakan Sangha yang mempunyai ketua dan hierarki pentadbirannya. Kalau di Thailand, Ketua Agung Bikkhu yang dikenali sebagai Phra Maha Sangkharat dilantik oleh raja Thai. Di Kelantan Ketua Besar Bikkhu Buddha (Caw Khana Rat atau nama informalnya, Caw Khun) dilantik oleh Sultan Kelantan (bagi pihak raja Thai). Di Kedah, saya percaya Sultan Kedah atau wakilnya melantik Ketua Besar Bikkhu Negeri Kedah.

Tiga perkara ini, iaitu Buddha, Dharma dan Sangha menjadi lambang penting dalam agama Buddha. Sebab itulah mesti ada tiga batang colok dan tiga batang lilin dalam ritual agama Buddha sebagai penghormatan kepada Buddha, ajarannya dan para pengamal jalan hidup suci yang disebut sebagai Sangha. (Rangkaian tiga unsur penting ini disebut oleh orang Siam sebagai Phra Phut, Phra Tham dan Phra Song).

Bahkan setiap upacara dan ritual dalam agama Buddha bermula dengan pemberian hormat kepada tiga unsur ini, iaitu dengan meminta perlindungan daripada Buddha, Dharma dan Sangha.

JAWAPAN: (dari penulis) Penulis memang berminat dengan buku dan rencana tuan mengenai ilmu perbomohan Siam dalam konteks penerimaan oleh orang Melayu, pengaruh Siam dan Buddha terhadap sistem kepercayaan tradisional orang Melayu Kelantan dan lain-lain. Penulis percaya para pembaca pun begitu juga.

Dengan itu penulis berharap tuan dapat mengirim buku dan rencana untuk disiarkan dalam ruangan Rencana Pilihan di bawah ruangan ini.

Mengenai penggunaan istilah bikkhu mengganti sami adalah tepat. Beberapa tahun lepas ketika menjadi wakil Utusan di bangkok, penulis juga menggunakan istilah bikkhu atau biksu, tetapi seorang pengarang kanan menghubungi penulis meminta menggunakan istilah yang difahami masyarakat tempatan. Justeru itu penulis pun terpaksa menyerah kalah. Bagaimanapun, minggu lepas terbangkit semula perasaan tidak mahu menggunakan istilah sami. Lalu penulis menggunakan istilah tok ca.

Akhir sekali penulis mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mohamed Yusoff Ismail dan berharap dapat berkongsi ilmu dengan tuan pada masa lain insya-Allah. Oleh ASTORA JABAT, E-mail: astora@utusan.com.my

Sumber: Utusan Malaysia, Mei 04, 2001. 

No comments:

Post a Comment