Saudara Astora,
Saya adalah peminat ruangan anda dan ini adalah kali pertama saya menulis ke ruangan ini. Saya tertarik dengan kenyataan seorang yang mendakwa dirinya adalah salah seorang daripada pemimpin Persatuan Siam Malaysia (saya tak pasti ada berapa ramai pemimpin dalam persatuan tersebut, maklumlah saya bukan ahlinya) tentang isu keturunan Siam. Memang kenyataan beliau tidak tepat. Dulu orang Thai di Thailand pun digelar orang Siam. Sebutan sebenarnya ialah Sayam. Khon Sayam = orang Siam, Meang Sayam = negeri Siam. Orang putih tulis Siam (Saiyem), orang Melayu sebut Siam (baku), orang Siam di Malaysia sendiri pun terbawa-bawa sebut Siam.
Thai, yang bermaksud kebebasan adalah perkataan baru. Tidak dapat dipastikan sama ada salah seorang pemimpin persatuan Siam ini telah berunding dengan rakan-rakan pemimpin yang lain. Kalau sudah sependapat tentang isu ini, nampak sangatlah yang pemimpin-pemimpin persatuan Siam ini terdiri daripada orang yang kurang cerdik belaka.
Saya harap pemimpin Siam itu memberi perhatian kepada perkara-perkara lain yang dapat memberi faedah kepada orang Siam daripada membangkitkan isu remeh ini. Pemimpin Siam tahu atau tidak ketika ini berapa ramai pemuda Siam yang telah mati akibat AIDS, berapa ramai yang sedang tunggu masa (HIV positif), berapa ramai janda-janda muda (tak boleh pakai, siapa berani, silakan) yang telah dibalukan oleh pesakit-pesakit AIDS ini? Pandang dan lihatlah berapa ramai orang Siam yang parah ketagih arak, yang pantang ada peluang berkumpul pasti akan berjudi, yang ketagih nombor ekor, yang bila ada duit akan berfoya-foya di Dannok, yang lupa anak-isteri kerana gilakan perempuan Siam (Thailand). Bantulah remaja Siam yang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran, tetapi masih tidak mendapat tempat di IPT. Cadangkanlah kepada kerajaan supaya memberi kelonggaran kepada anak-anak Siam untuk memasuki ITM (UiTM). Kata orang Siam bertaraf bumi, tetapi masuk ITM tak boleh, beli rumah tak ada diskaun, tak boleh beli tanah rizab Melayu dan sebagainya. Setakat dapat menyertai skim ASN/ASB tapi tak ada duit nak melabur, buat apa. Pemimpin tertinggi persatuan yang juga merupakan Ahli Dewan Negara semasa dicadangkan sesuatu usul oleh orang kampung untuk dimajukan kepada kerajaan berkata beliau tidak berdaya dan suaranya kurang power kerana beliau keseorangan di Dewan Negara.
Katanya, nanti ahli-ahli lain akan memboo beliau sambil berkata piiiirah lu. Cukuplah seorang wakil. Kalau berarak ramai-ramai untuk menyampaikan sesuatu usul, itu demontrasi atau rusuhan namanya, macam orang Keadilan dan Pas selalu buat. Sama ada senator ini cuba untuk mencerdik macam pengikutnya yang masih mencari-cari asal usul diri, tidak dapat dipastikan. Saudara Astora, jangan siarkan alamat e-mel saya (e-mel saya untuk kegunaan pekerjaan sahaja, nanti kotak e-mel saya penuh, akan menyukarkan saya).
PHAN.
JAWAPAN: Penulis difahamkan memang ada perkara-perkara tertentu yang khusus bagi orang Melayu seperti tanah rizab tidak boleh dituntut oleh orang Siam walaupun mereka bertaraf bumiputera. Bagaimanapun, kedudukan orang Siam di Malaysia sebenarnya jauh lebih baik daripada Melayu di Thailand. Ini kerana orang Melayu di Thai yang dipanggil Thai Muslim itu walaupun merupakan penduduk asal yang menduduki wilayah yang didirikan Thailand kini sejak ribuan tahun sebelum didirikan negara Sukhothai pada tahun 1238, tetapi mereka tidak memiliki hak istimewa seperti itu.
Memang ada kekurangan pada masyarakat Siam di Malaysia, tetapi penulis percaya itu boleh diselesaikan jika semua orang Siam bersatu. Masyarakat Siam yang berjumlah kira-kira 40,000 hingga 50,000 orang dan tinggal bertaburan di merata Kedah, Perlis dan Kelantan tidak patut berbalah mengenai seorang senator yang dilantik oleh kerajaan. Tidak ada sebab apa pun untuk berbalah. Pelantikan seorang senator itu tidak lebih daripada penghormatan kerajaan kepada masyarakat Siam dan kerana jika mahu ikut peratusan penduduk Siam, mereka sebenarnya tidak mempunyai kelayakan.
Dengan itu tanpa mengambil kira setuju atau tidak setuju dengan sahsiah senator berkenaan anggaplah pelantikannya sebagai simbol masyarakat Siam dalam kerajaan. Itupun sudah cukup. Segala tuntutan masyarakat Siam yang difikirkan perlu diberi perhatian, hendaklah disalurkan melalui wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Sumber: Utusan Malaysia 6 Mei 2001
No comments:
Post a Comment