TUMPAT, 16 Sept (Bernama) -- Patung Buddha Duduk yang terbesar di Asia Tenggara di Wat Machimmaram, Kampung Jubakar, di sini dirasmikan dengan penuh kemeriahan bersama upacara keagamaan, dengan disaksikan ribuan penganut agama itu hari ini.
Patung bernilai RM4 juta, yang melambangkan imej Buddha itu dengan ukuran ketinggian 30 meter, panjang 47.5 meter dan kawasan dalamannya 22.25 meter, dirasmikan oleh Ketua Sami Dunia dari Bangkok, Thailand, Somdet Phrak Sangkharat.
Ketibaan Somdet di wat berusia lebih 500 tahun itu pukul 3 petang ini disambut penganut agama itu yang berbaris panjang untuk memberi hormat kepadanya. Wat Machimmaram terletak kira-kira 20 kilometer dari Kota Baharu melalui Jalan Wakaf Baharu-Pengkalan Kubor.
Somdet mengetuai upacara sembahyang bersama-sama 500 sami dari Malaysia, Thailand, Singapura dan Sri Lanka, di sebuah khemah kanvas yang didirikan di hadapan patung berkenaan dengan disaksikan ribuan penganutnya. Upacara sembahyang telah diadakan selama tujuh hari bermula Ahad lepas dan kemuncaknya pada hari ini dengan proses penyemadian Sarira atau Hati Buddha ke dada patung itu.
Sejak Ahad lepas, ribuan penganut agama itu dari pelbagai negara telah datang ke wat berkenaan dan mengambil kesempatan memasukkan sepasang jarum emas dan perak ke dalam sebuah lubang di Hati Buddha itu dengan hasrat anak mereka yang bakal lahir nanti mempunyai kecerdasan dan pemikiran yang tajam.
Sebagai menandakan perasmian patung itu, Somdet naik ke atas pentas khas tempat terletaknya Hati Buddha itu dan memasukkan barang berharga ke dalam Hati Buddha tersebut. Hati Buddha yang berbentuk kon itu diperbuat daripada gangsa setinggi 1 meter, kemudiannya ditarik naik ke dada patung berkenaan.
Perayaan perasmian patung buddha berkenaan yang berlangsung sejak 9 Sept lepas telah menyaksikan pelbagai acara keagamaan dengan kehadiran penganut Buddha kira-kira 100,000 orang. Di perkarangan wat berkenaan bagaikan pesta kerana terdapat beratus petak premis disediakan untuk menjual pelbagai jenis barangan, minuman dan makanan kepada pengunjung.
Pada sebelah pagi hari ini, pengunjung turut dipersembahkan dengan tarian 69 ekor singa diikuti tarian enam ekor naga dan paluan 108 rebana Cina. Malam Cahaya yang berlangsung malam Khamis lepas, telah mencatatkan sejarah bagi penganut agama itu apabila 25,000 batang lilin bunga dinyalakan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa sambutan perayaan itu, Eh Deng Eh Chik, upacara itu merupakan penyalaan lilin yang terbesar di dunia setakat ini. Pada malam cahaya sebelum ini, selain penyalaan lilin itu, lebih 100 lampu Gong Ming telah dilepaskan ke udara yang dilakukan oleh Ketua Sami Wat berkenaan, Phrakhru Withithammanat.
Kehadiran ribuan penganut agama itu disifatkan antara upacara keagamaan Buddha yang paling besar dihadiri di negara ini. Masyarakat dunia sebelum ini dikejutkan dengan tindakan kerajaan Taliban di Afghanistan meruntuhkan binaan patung-patung Buddha purba termasuk yang terbesar di dunia, tetapi perkara seperti itu tidak berlaku di Malaysia.
Selain Wat Machimmaram yang menempatkan patung berkenaan, terdapat 10 lagi wat di sekitar jajahan Tumpat termasuk yang menempatkan patung Buddha Berbaring yang terbesar di Asia.
Eh Deng ketika ditemui Bernama berkata pembinaan patung itu yang bermula pada 3 Mei 1991, adalah hasil derma masyarakat agama itu. Beliau berkata upacara perasmian yang bermula Ahad lepas berjalan lancar tanpa berlaku perkara yang tidak diingini. Pihak polis juga telah memberi kerjasama penuh untuk menjaga keselamatan serta mengawal kesesakan lalulintas di jalan berkenaan.
Naib Presiden Persatuan Buddha Malaysia, Hui Hai berbangga dengan imej (patung) Buddha Duduk yang terbesar di Asia Tenggara itu kerana didirikan di Malaysia. Perasmian yang disaksikan ribuan penganut Buddha itu turut dilakukan gabungan sami dari luar Malaysia iaitu Thailand, Sri Lanka dan Singapura, katanya. Beliau berkata sikap toleransi rakyat Malaysia telah membolehkan patung berkenaan didirikan di negara ini.
Beberapa lagi penganut Buddha yang ditemui melahirkan rasa bangga mereka dengan patung berkenaan yang antara lain menjadi simbol kebebasan beragama di Malaysia dan percaya ia akan menjadi daya tarikan baru kepada pelancong dalam dan luar negara ke Kelantan.
Eh Chom Eh Kuang, 50, berkata penganut Buddha suka tinggal di Malaysia kerana dasar kebebasan beragama, dan tidak ada pihak dari agama lain yang cuba mengganggu penganut Buddha. Kita rasa suka hati kerana sambutan telah beres, tak ada gangguan, ramai yang datang dalam keadaan aman, kata beliau dan berharap ia akan dapat menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan.
Sami Niang, 45, pula berkata upacara itu membuktikan tidak ada sekatan beragama di Malaysia. Tidak ada halangan, di Malaysia ada undang-undang yang kukuh untuk melindungi kebebasan beragama, katanya.
Tara Singh, 48, pula berkata walaupun Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan agama, mereka tidak mencemburui amalan beragama antara satu sama lain. Keganasan tidak berlaku di Malaysia kerana kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam menjaga keselamatan, katanya.
-- BERNAMA pada 16 Sept. 2001 (http://www.bernama.com.my)
Interesting Community in Kelantan
ReplyDelete