IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Thursday, December 30, 2010

20,000 Kaum Siam Kelantan Setia Jadi Warganegara Malaysia

Oleh: SAROJI MOKHTAR

KOTA BHARU 10 Ogos - Seorang pemimpin masyarakat keturunan Siam di Kelantan, Eh Deng Eh Chik yakin lebih 20,000 orang masyarakat Siam di Kelantan adalah warganegara Malaysia dan mempunyai kesetiaan yang tinggi kepada negara ini.

Beliau percaya mereka yang berada di negeri ini tidak mempunyai dua kerakyatan sebaliknya kesemua mereka adalah warganegara Malaysia.

``Keadaan yang aman dan selamat di Malaysia telah menyebabkan mereka tidak terfikir untuk mempunyai dua taraf kerakyatan atau pun menjadi warganegara Thailand,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid semalam yang meminta penduduk Malaysia dan Thailand yang mempunyai dua kerakyatan serentak itu supaya memilih satu status warganegara tidak lama lagi.

Kelantan merupakan antara negeri di Malaysia yang mempunyai paling ramai masyarakat keturunan Siam. Sebahagian besar daripada mereka tinggal di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan sempadan Thailand.

Eh Deng yang tidak bersetuju jika mana-mana keturunan Siam memiliki dua kerakyatan menegaskan, tidak ada sebab untuk mereka berbuat demikian kerana Malaysia adalah sebuah negara yang makmur dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh.

``Oleh itu saya yakin tidak ada masyarakat keturunan Siam yang lahir dan tinggal di negeri ini mempunyai dua kerakyatan walaupun mereka masih mempunyai saudara-mara di Thailand,'' katanya.

Selain itu katanya, mereka juga tidak berminat untuk menjadi warganegara Thailand kerana negara itu meletakkan syarat yang ketat iaitu harus menyertai kerahan tenaga terlebih dahulu.

Sumber: Utusan Malaysia; Dalam Negeri; 11/08/2004

No comments:

Post a Comment