Mukadimah
Siapa sangka disebalik tutur kata dan perlakuannya yang lemah lembut seperti kebanyakan wanita Siam, Senator Siw Chun Eam, 42, sebenarnya seorang yang begitu tegas dalam perjuangannya membela kebajikan masyarakat minoriti itu.
Bermula dengan masalah yang dihadapinya sendiri khusus dalam pemilikan tanah bagi orang Siam sekembalinya daripada belajar di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1991, Siw Chun terus ligat membela nasib bangsanya. Satu demi satu isu masyarakat Siam dibawa ke pengetahuan kerajaan hatta di Parlimen sekalipun oleh wanita yang berasal dari Permatang Jawi, Arau, Perlis itu dan mempunyai kelulusan dalam bidang pengurusan perniagaan dari Pennsylvania State University di Amerika Syarikat (AS).
Daripada isu pemilikan tanah, ia beralih pula kepada isu perpaduan kira-kira 60,000 orang Siam di negara ini selain soal kebajikan, pendidikan, status bumiputera Siam dan juga kebudayaan masyarakat Siam.
“Masyarakat Siam bukan kaum pendatang tetapi peribumi di negara ini malah jika sejarah ditelusuri, mereka sebenarnya mewarisi tanah nenek moyang mereka yang dulunya dikenali sebagai Saiburi sebelum dipecah menjadi Kedah dan Perlis,'' kata wanita yang berasal dari Permatang Jawi, Arau itu kepada wartawan, Muhammad Nizam Abdul Hamid dan jurugambar, Nidzuwan Zainal Abidin baru-baru ini.
Siw Chun, lulusan bidang pengurusan perniagaan dari Pennsylvania State University di Amerika Syarikat itu merupakan senator kedua dalam sejarah masyarakat Siam di negara ini selepas Senator Datuk Charern Intachat yang tamat tempoh pada tahun 2002.
Beliau juga adalah Pengerusi Persatuan Siam Malaysia (PSM) yang mewakili masyarakat Siam yang tinggal di beberapa kawasan penempatan di tujuh buah negeri dengan sebahagian besarnya tinggal di negeri Kedah.
Bagaimana Yang Berhormat (YB) boleh berada di kedudukan sekarang?
Saya sebenarnya tidak suka terikat dengan masa kerja menggunakan punch card. Jadi saya tidak berminat kerja dengan orang. Saya suka dalam bidang perniagaan, dan apabila pulang dari Amerika Syarikat saya membuat perniagaan kereta terpakai, kredit dan mengusahakan kilang pakaian.
Bagaimana pula boleh terlibat dalam bidang politik?
Pada tahun 1991 apabila saya pulang ke tanah air, ayah saya mahu memberi tanah yang ada geran atas nama dia kepada saya. Beliau mahu membuat pertukaran daripada ayah kepada anak. Tetapi Pejabat Tanah kata orang Siam kena ada Sijil Siam. Saya tanya kenapa? Dia memberitahu kalau bersangkutan dengan tanah, orang Siam mesti ada sijil itu yang mengesahkan dia petani, baru boleh memiliki tanah. Saya tidak puas hati tetapi saya ikut prosedur dan memohon Sijil Siam pada harga RM10. Kemudian saya dipanggil temu duga. Pegawai berkenaan memberitahu bahawa saya tidak layak memiliki Sijil Siam atau Sijil Pertanian. Bagi saya ini tidak adil.
Kenapa YB anggap tidak adil?
Memang tidak adil kerana tanah itu tanah ayah saya. Kenapa saya tidak boleh memiliki tanah yang ada geran, apakah kerana saya bukan seorang petani? Takkanlah orang Siam selamanya jadi petani baru boleh memiliki tanah? Disebabkan rasa tidak puas hati saya mencari saluran yang dapat membantu orang Siam menyelesaikan masalah seperti ini. Kebetulan pada masa itu Pertubuhan Thai Perlis baru ditubuhkan. Masa mesyuarat agung dan saya dijemput. Pada mesyuarat itu, mereka tanya ada apa masalah orang Siam, lalu saya bangun dan bertanyakan fungsi pertubuhan ini. Mereka kata mahu membantu dari segi pendidikan, kebajikan dan jadi orang tengah antara orang Siam dengan kerajaan. Saya beritahu masalah yang saya hadapi dan bertanya ada sesiapa yang turut menghadapinya. Semua angkat tangan tetapi tidak ada yang boleh selesaikan masalah ini.
Jadi saya bertanya kenapa pertubuhan tidak berusaha untuk selesaikan masalah ini? Kalau kita bukan petani maksudnya kita tak boleh miliki tanah itu dan tanah itu akan jadi hak kerajaan atau diberikan kepada adik-beradik yang jadi petani. Dan pada masa itu juga saya mula melibatkan diri dalam persatuan dan UMNO.
Kenapa YB memilih UMNO?
Negara saya dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) di mana UMNO sebagai taiko, sebagai parti yang memerintah, jadi kebetulan masa itu kerajaan memberi peluang kepada orang Siam menjadi ahli UMNO. Masa itu saya mula tubuh cawangan UMNO dan menjadi Pengerusi Pertubuhan Thai Negeri Perlis pada tahun 1991. Masa itu saya memang aktif, saya cuba menaikkan martabat orang Siam dengan memohon kerajaan meneliti tentang Sijil Pertanian. Kemudian masa temu duga, dulu Pejabat Tanah tanya nama Raja, Perdana Menteri pertama yang amat berat bagi orang Siam di luar bandar menjawabnya. Sebagai seorang petani kalau pegawai tanya, mak cik buat bendang berapa relung dan tau tak cara buat bendang, itu no problem tetapi mereka tanya sampai nama Raja, nama Perdana Menteri pertama, kedua, apa makna bendera kita, bintang dan bulan.
Apa tindakan YB?
Semasa itu Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh jadi Menteri Besar dan saya buat memorandum kepada beliau meminta supaya pertanyaan seperti itu dilonggarkan. Saya pohon agar tanah yang ada hak milik daripada mak bapa kepada anak tidak perlu Sijil Siam kecuali tanah tidak bergeran macam TOL.
Pengalaman YB sendiri?
Mereka tanya saya seorang petani atau tidak. Apabila saya kata baru balik belajar dan berniaga, mereka terus tidak tanya dan beritahu saya tidak layak kerana bukan petani. Tetapi bagi kes petani pula, jika mereka ditanya soalan seperti itu saya rasa berat sikit untuk mereka jawab. Keadaan seperti ini menyebabkan rasa tidak puas hati orang kampung dan mereka merayu kepada saya agar dilonggarkan pertanyaan-pertanyaan seperti itu. Saya lihat UMNO sebagai salah satu saluran untuk menyelesaikan masalah ini. Saya seru orang Siam menyertai UMNO, kerana saya mahu memberi kesedaran kepada orang Siam. Orang Siam tidak faham langsung tentang politik, mereka kata boleh cari makan, tak ada orang kacau, okeylah. Undi pun mereka tidak daftar sebagai pengundi. Jadi saya rasa ini masanya untuk memberi kesedaran kepada orang Siam menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan yang memimpin negara yang kita tinggal sekarang. Sebenarnya orang Siam di luar bandar ini fresh, blank. Mereka hanya tahu pergi bendang dan balik, itu saja.
Ketika itu YB melihat orang Siam bagaimana?
Saya rasa orang Siam di belakang sikit dari segi sosial, akademik dan tidak ada pemimpin yang boleh menyuarakan hak mereka. Sebab itu apabila saya menghadapi masalah tanah itu, saya boleh selesai dengan melantik peguam tetapi bagaimana dengan orang lain? Jadi saya buat keputusan bahawa saya kena bantu mereka dan buat memorandum. Akhirnya tidak ada lagi soalan seperti erti bendera dan nama pemimpin, cuma tanya berapa relung, cara buat bendang, serelung kalau nak kerat padi berapa duit. Itu sahaja. Bagi saya soalan begini adalah lebih munasabah untuk orang buat bendang.
Setahun saya perjuangkan isu ini dan kelonggaran diberikan semasa Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi Menteri Besar. Bagaimanapun bayaran untuk permohonan naik dan sudah mencecah RM30 untuk mendapatkan Sijil Siam.
Apa sebenarnya yang mendorong YB aktif dalam politik?
Inilah cara saya mencari saluran untuk menyatukan orang Siam, menunjukkan kepada kerajaan bahawa orang Siam menyokong kerajaan dan untuk menjadi badan perantara bagi menyuarakan masalah orang Siam kepada kerajaan. Itulah tujuan sebenar bukannya saya mahu merebut jawatan.
Selama ini siapa yang memperjuangkan nasib orang Siam?
Saya pun tidak tahu. Apa yang saya tahu apabila balik dari AS, saya berhadapan dengan masalah seperti ini yang tidak ada perhatian daripada pihak kerajaan. Seperti perarakan Hari Kemerdekaan, orang Siam turut serta tetapi lima hingga 10 orang dengan pakaian yang tidak senonoh, hanya pakai selipar. Memang ada pemimpin Siam tetapi mereka tidak berusaha untuk membuat persatuan seperti menubuhkan cawangan UMNO.
Siapa sebenarnya orang Siam di Malaysia ini?
Mengikut kefahaman sejarah saya, Kedah dan Perlis ini dulunya dikenali dengan nama Saiburi. Kemudian Saiburi dipecah kepada Kedah dan Perlis. Orang Siam yang menetap di Saiburi tidak pindah ke Thailand kerana tanah mereka ada di sini. Jadi kami ini orang Malaysia, orang Siam di Malaysia, bukan pendatang.
Jadi generasi sekarang tidak peduli lagi tentang Thailand?
Tidak. Tanah air kita adalah Malaysia.
Orang Siam sekarang dan dulu ada beza?
Orang Siam sekarang dan dulu ada banyak beza, dari segi kemajuan, fizikal dan mental sudah ada penghijrahan. Mereka kini mula ambil tahu fasal perkembangan kerajaan dan pendidikan anak-anak. Mereka sudah mula tanya kenapa matematik dan sains dalam bahasa Inggeris, pada zaman teknologi maklumat (IT) ini mereka mahu beli komputer untuk anak-anak. Itu bezanya. Dalam perjumpaan dengan mereka pula, saya cerita kepada mereka. bahawa, “Sekarang tuan puan kena jaga pendidikan anak-anak, sekarang kampung kita nak jadi bandar dah. Jadi bendang tu jangan harap sangat, kalau diambil kerajaan untuk dibuat pembangunan, jadi anak kita nak makan apa kalau dok harap depa buat bendang.” Jadi perlahan-lahan mereka sudah faham.
Siapa di sebalik kerja keras YB memperjuangkan nasib orang Siam?
Saya ingin berterus terang bahawa di belakang saya ialah Datuk Seri Shahidan Kassim. Beliau yang bagi semangat dan tunjuk ajar. Bukan senang mahu jadi pemimpin. Kadang-kadang kita bukan boleh selesai semua masalah, jadi macam-macam surat layang muncul. Menteri Besar beri saya semangat. Di samping itu Tuhan yang maha kuasa memberikan saya seorang suami (Lee Soon Guan) yang memahami diri saya. Beliau tidak pandai cemburu. Beliau juga memberi semangat dan membantu saya pergi kampung orang Siam walaupun waktu tengah malam.
Bagaimana persatuan Siam di peringkat negeri boleh bergabung?
Apabila Charern dilantik sebagai senator, dia juga mahu menyatukan orang Siam. Tetapi bagaimana? Jadi beliau menubuhkan Persatuan Siam Malaysia (PSM). Sebenarnya PSM diambil alih daripada Pertubuhan Thai Malaysia di Pulau Pinang. Pertubuhan Thai Malaysia sudah ada tetapi keahliannya hanya di Pulau Pinang. Jadi Charern cadangkan pertubuhan Thai ini dibawa ke tengah dan diubah menjadi PSM. Pertubuhan Thai di Pulau Pinang bersetuju. Kita buat pemindahan nama, alamat dan sebagainya. Sekarang orang Siam berada di tujuh negeri termasuk di Perlis. Saya jadi ketua PSM Perlis dan dilantik sebagai setiausaha agung pertama PSM.
Sebagai Senator apa perancangan YB?
Objektif pertama adalah satukan orang Siam di Malaysia, kedua, saya mahu mereka menyertai UMNO dan ketiga memberikan perhatian kepada pendidikan kerana masa depan tanpa pendidikan, bermakna kita akan buta segala-galanya. Keempat, saya mahu menjaga kebajikan terutama ibu tunggal atau bapa tunggal, warga emas yang dipinggir keluarga dan memberi perhatian dalam program belia.
Apa isu yang selalu dibawa ke Parlimen?
Tentang kebudayaan, saya minta kerajaan memberi pengiktirafan dan telah pun diberikan perhatian seperti memasukkan program Songkhran dalam kalendar pelancongan negeri dan kebangsaan. Keduanya tentang pendidikan, saya pohon kerajaan memberi peluang kepada pelajar Siam yang layak untuk melanjutkan pelajaran mereka ke universiti.
YB memperjuangkan pengiktirafan bumiputera Siam?
Ya. Memang perkara ini menjadi masalah kita dan masalah lapuk kami ialah tentang nama bangsa kami iaitu Thai dengan Siam. Kami mahu bezakan Siam dengan Thai. Thai ini adalah orang yang datang dari Thailand tetapi Siam ialah warganegara Malaysia berketurunan Siam Jadi saya buat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara agar kami dikenali sebagai Siam. Dalam Sijil Pertanian Enakmen Tanah juga orang Siam. Sebab itu saya minta ia diubah menjadi Siam bukan Thai.
Mungkin sekarang orang Siam menikmati lebih banyak kemudahan?
Saya rasa ada dari segi akademik dan pendidikan, saya rasa kerajaan memberi perhatian kepada isu kami, memberi kelonggaran kepada pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Mereka sudah banyak berjaya. Dari segi kakitangan kerajaan, ramai yang sudah berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan dan swasta pula, penglibatan generasi muda mulai dirasakan apabila mereka menceburi kilang. Sudah ada kesedaran tidak hanya bergantung kepada pertanian di mana ibu bapa mereka bermula, saya selalu pergi ke kampung dan rasmi mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi taklimat dan motivasi.
Sebagai Senator, apakah rutin YB?
Saya buat roadshow kalau tidak ada sesi Parlimen. Saya akan bawa Ahli Jawatankuasa PSM termasuk Pemuda dan Wanita melawat cawangan seluruh Malaysia dan akan berikan maklumat perkara semasa untuk pengetahuan cawangan tentang kerajaan dan melihat program cawangan dan juga masalah mereka. Jika tidak ada roadshow saya akan berada di pusat khidmat di hadapan rumah saya untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai.
YB sudah memasuki penggal kedua sebagai Senator dan ia tempoh maksimum, ke mana selepas ini?
Saya rasa kalau habis penggal kedua pun, kalau niat saya mahu membantu orang Siam, saya akan teruskan perjuangan itu. Memang saya rasa, saya akan kekal dalam politik. Dalam fahaman persatuan orang Siam, sesiapa yang dipilih menjadi Pengerusi PSM, orang itu akan menjadi Senator, jadi bila saya habis dua penggal maksimum, saya akan memberi peluang kepada orang lain yang akan menjadi Pengerusi PSM dan Senator. Tetapi saya sanggup menjadi ahli jawatankuasa dan Pengerusi PSM Negeri Perlis dan masih kekal sebagai Ketua Cawangan.
Bagaimana YB suka diri YB dilihat?
Walaupun saya seorang Senator sekarang, dulu orang panggil saya Chun, saya beritahu mereka, YB itu hanya dalam mesyuarat atau majlis rasmi, panggillah saya Adik Chun, macam biasa. Sebab kalau kita anggap diri kita ini tinggi sangat, orang akan malu dengan kita. Jadi kita anggap kita ini macam orang biasa, bermesra dengan orang kampung. Apabila pergi kenduri orang duduk atas tikar saya duduk atas tikar, bila orang makan dengan tangan saya makan dengan tangan. Saya tidak ada masalah bermesra dengan, semua bangsa. Saya boleh bergaul dengan orang muda, orang tua atau lelaki. Kita tidak boleh bangga sangat dengan diri kita, kita ini manusia biasa. Jawatan itu hanya sementara, sementara macam mana? Enam tahun habislah, perhubungan kita dengan masyarakat tidak akan habis.
Sebagai wanita mungkin YB hadapi masalah pimpin orang Siam?
Masa mula-mula itu ada. Pada peringkat pemilihan selepas Charern hanya saya seorang wanita. Kami tidak dilantik begitu sahaja. Ada pencalonan mengikut cawangan PSM dan pemilihan di peringkat kebangsaan macam pilihan raya umum. Masa pemilihan Senator itu tujuh lelaki turut bertanding. Kita mahu pilih tiga untuk dibawa ke peringkat atasan dan saya salah seorang. Dalam masa itu, saya dituduh macam-macam seperti tidak layak kerana bersuamikan lelaki Cina, macam mana 60,000 bangsa Siam mahu dipimpin wanita. Sesetengah mereka kata kena bagi lelaki. Tetapi dari segi kerja, mereka tidak mempertikaikannya. Saya sakit hati apabila mereka kata saya wanita tidak boleh menjadi pemimpin, tetapi itu yang menjadikan saya lebih bersemangat. Jangan hina saya kerana saya wanita. Saya cukup marah fasal itu. Kenapa hina wanita? Dan saya telah buktikan bahawa wanita bukannya hanya duduk di bawah, masak nasi dan jaga anak sahaja.
Sumber: Utusan Malaysia; Rencana; 19 Februari 2006
No comments:
Post a Comment