IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Monday, December 27, 2010

Yayasan Orang-Orang Siam Ditubuhkan

ALOR SETAR, 17 Nov (Bernama) -- Persatuan Siam Malaysia (PSM) menubuhkan Yayasan Orang-orang Siam Malaysia bagi menjaga kepentingan masyarakat itu yang merupakan golongan minoriti di negara ini.
Yayasan itu dilancarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik di sini malam tadi.

Terdapat kira-kira 60,000 orang keturunan Siam di negara ini yang kebanyakkannya tinggal di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Presiden PSM Senator Datuk Charern Intachat berkata yayasan itu kini mempunyai dana sebanyak RM179,000 hasil sumbangan orang ramai dan akan berperanan menyatupadukan masyarakat Siam di negara ini.

Selain membantu pelajar dalam bidang pendidikan, beliau berkata Yayasan itu juga akan membiayai program-program kebudayaan Siam di Malaysia bagi meningkatkan tarafnya sepertimana kebudayaan bangsa-bangsa lain.

Beliau berkata masyarakat Siam turut memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan negara terutama dalam sektor pertanian.

Ketika berucap Ling yang juga Menteri Pengangkutan berkata walaupun orang-orang Siam di malaysia masih mengekalkan identiti dan budaya tersendiri tetapi mereka adalah rakyat Malaysia yang setia dan bertanggungjawab di samping mengutamakan keharmonian kaum dan perpaduan rakyat.

Beliau berkata, MCA bersedia untuk memberi pertolongan dan perkhidmatan kepada masyarakat Siam supaya taraf hidup masyarakat itu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Sumber: BERNAMA (http://www.bernama.com.my), November 17, 2000. 

No comments:

Post a Comment