TAHUN 1996 paling bersejarah bagi masyarakat Siam. Perjuangan mereka selama ini agar seorang daripada mereka dilantik ke jawatan tinggi dalam kerajaan telah dikabulkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Tarikh 1 Januari merupakan tarikh keramat buat masyarakat minoriti yang sebahagian besarnya menetap di utara Semenanjung apabila Perdana Menteri mengumumkan perlantikan bekas Pengarah Kastam Kedah, Charern Intachat sebagai senator Dewan Negara.
Beliau yang mewakili suara lebih 50,000 orang Siam di seluruh negara, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara hari ini. Sebagai masyarakat yang telah menempuh ranjau lebih 38 tahun bersama kemerdekaan negara, mereka kini bersedia menerima jawatan itu yang diumpamakan `hadiah istimewa' atas sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kerajaan selama ini.
Anak seorang pembaik basikal dan motorsikal di Kampung Jitra, Charern telah sampai ke puncak kariernya apabila dilantik sebagai Pengarah Kastam Kedah pada 1989. Namun kejayaannya tidak berakhir di situ. Semasa ditemui baru-baru ini, Charern berkata, sebagai orang Siam yang pertama menjadi senator, dia bukan sahaja menjadi harapan masyarakatnya tetapi juga kerajaan yang memberi kepercayaan kepadanya.
Menerusi pengalaman dan ilmu pengetahuan yang ada pada dirinya, beliau berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakatnya yang kini dikatakan ketinggalan berbanding masyarakat lain di negara ini. Katanya, masyarakat minoriti Siam terpinggir daripada suasana politik negara kerana tiada parti yang mewakili kaum itu dan kepimpinan politik, tetapi kini mula berubah.
Sehubungan itu, beliau mempunyai tanggungjawab yang besar bukan sahaja untuk masyarakatnya tetapi juga untuk membantu merealisasikan wawasan murni kerajaan. ``Ini adalah tanggungjawab yang amat berat. Walaupun begitu, sebagai orang lama dalam perkhidmatan kerajaan yang telah melalui pelbagai cabaran, saya menerima pemilihan ini dengan rasa tanggungjawab yang tinggi.''
Charern boleh membaca jawi dengan lancar hasil didikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alur Setar (1947-1952) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Kolej Sultan Abdul Halim, Alur Setar (1953-1959). Ujarnya, jumlah masyarakat Siam yang tidak banyak dan berselerak di seluruh negara menjadikan penubuhan parti politik mereka sendiri tidak wajar. Oleh itu, kata beliau, langkah pertamanya ialah mengajak masyarakat minoriti Siam menjadi ahli UMNO selaras dengan peluang diberikan oleh UMNO untuk masyarakat Siam menyertainya.
``Di antara parti politik yang ada sekarang ini, hanya UMNO sahajalah pilihan terbaik bagi masyarakat Siam. Ini kerana UMNO boleh membantu meningkatkan kemajuan dan taraf hidup mereka,'' tegasnya. Peluang berpayung di bawah sebuah parti yang menjadi tonggak kestabilan negara adalah kelebihan yang sukar diperolehi oleh mana-mana kaum minoriti di negara ini .
``Sekiranya masyarakat Siam tidak bergabung dengan UMNO, walaupun di kalangan mereka ada yang menjadi senator, saya percaya kuasa tawar-menawar adalah terlalu kecil,'' kata Ketua Cawangan UMNO Kota Giam Sungai Baru Bahagian Kubang Pasu itu. Tambahnya, melalui kedudukan barunya beliau berazam untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Siam terutamanya dari segi ekonomi dan pendidikan. Bagi melaksanakan usaha itu, Charern bercadang untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil masyarakat Siam dari setiap negeri untuk menyusun program kebajikan mereka secara keseluruhan.
Katanya, permasalahan utama yang dihadapi oleh masyarakat Siam sekarang ini ialah taraf pendidikan mereka. Anak-anak kecil masih ketinggalan dalam bidang pendidikan. Didapati sebahagian besar daripada mereka hanya berpendidikan sekolah rendah. Tambah Charern, masalah kewangan masih menjadi penghalang kemajuan pendidikan anak-anak masyarakat Siam sekarang ini.
Katanya, ini kerana hampir 95 peratus masyarakat Siam tertumpu ke kawasan luar bandar di mana ekonominya berorientasikan pertanian khususnya menoreh getah dan menanam padi. ``Saya akan memberi tumpuan dalam soal pendidikan supaya mereka melihat kemajuan negara dengan lebih positif dan turut sama memberi sumbangan serta menikmati kemajuan itu,'' jelasnya.
Oleh itu kata Charern, bantuan kerajaan terutamanya dari segi pemberian biasiswa amat diperlukan bagi membolehkan anak-anak masyarakat ini melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sekolah teknikal kerajaan dan sekolah berasrama penuh.
Namun katanya, untuk maju dan mencapai kejayaan dengan cemerlang, masyarakat Siam tidak sepatutnya hanya bergantung kepada kerajaan tetapi mereka sendiri harus berusaha untuk berdikari.
Sumber: Utusan Malaysia ; 14 Mei 1996; m/s 7; Ruangan Rencana oleh Arun Boon Tiang.
No comments:
Post a Comment