Ekoran tulisan Idris Bakar mengenai Serambi Siam, Utusan Malaysia menerima banyak surat daripada pembaca sama ada pro atau kontra. Beberapa surat disiarkan, tetapi lebih banyak yang tidak kerana kandungannya hampir sama. Dengan penyiaran surat kedua Idris Bakar sebagai jawapannya kepada tulisan Manit a/l See Nam, isu ini ditutup. - PENGARANG.
Saudara Pengarang,
SEBAGAI penulis surat yang mencadangkan nama julukan Serambi Mekah ditukar kepada Serambi Siam, saya ingin memohon maaf kepada Saudara Manit a/l See Nam, dan semua rakyat berketurunan Siam di Kelantan ataupun di seluruh negara. Saya menulis bukanlah dengan tujuan untuk menyinggung saudara semua dan agama Buddha, tetapi hanya ingin berdakwah kepada para penganut Islam, agama rasmi negara Malaysia, juga Kelantan.
Saudara Manit patut mengambil contoh negara-negara Islam yang tidak membenarkan rakyatnya yang bukan beragama Islam membina rumah-rumah ibadat mereka, seperti patung-patung sembahan yang terlalu besar sehingga melebihi masjid. Kalau mereka membina patung Buddha atau patung-patung sembahan yang lain, seperti yang terdapat di Pulau Pinang, maka itu tidak menjadi masalah.
Tetapi kalau patung-patung Buddha yang terdapat di Kelantan, yang didakwa antara yang terbesar di Asia, sudah tentu tidak kena. Ini kerana, sejak puluhan tahun yang lalu, Kelantan mendapat julukan Serambi Mekah kerana di sana terdapat banyak pondok pengajian agama dan ramai ulama terkenal. Bagaimanapun, dengan adanya patung-patung Buddha yang terlalu besar, yang mampu menarik pelancong-pelancong dalam dan luar negara untuk melawat ke sana, telah merobah pandangan orang ramai terhadap kehebatan negeri Kelantan.
Kalau Saudara Manit membaca sejarah negara Islam yang telah diwujudkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kira-kira 1422 tahun Hijrah yang lalu, Baginda membenarkan bukan Islam yang menjadi rakyat Madinah iaitu penganut Kristian dan Yahudi membina rumah ibadat mereka. Tetapi syarat yang dikenakan ialah gereja dan saumaah (synagogue) mereka mestilah tidak terlalu besar sehingga melebihi masjid, yang menggambarkan seolah-olah negara tersebut diperintah oleh bukan Islam.
Malah semasa baginda dan sahabat-sahabat menawan kota Mekah daripada kaum kafir Quraisy, tugas pertama Baginda adalah memusnahkan kesemua patung dan berhala yang terdapat di sekitar Kaabah dan kota Mekah. Sebabnya, Baginda tidak mahu orang-orang Islam yang lemah iman mereka terus meminta pertolongan daripada patung-patung ciptaan manusia itu.
Penulis membangkitkan cadangan itu sebenarnya hanyalah untuk memberi peringatan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Sekali lagi penulis tegaskan, rencana tersebut ditulis bukanlah dengan tujuan untuk menyinggung saudara dan lain-lain rakyat Malaysia keturunan Siam. - IDRIS BAKAR, Taiping.
Sumber: Utusan Malaysia (Ruangan Forum) pada 24 Ogos 2001 m/s
No comments:
Post a Comment