KANGAR: Masyarakat Siam di negara ini diingatkan tidak terpengaruh dengan dakyah yang dibawa parti pembangkang yang hanya mahu memancing undi.
Presiden Persatuan Siam Malaysia (PSM), Datuk Charern Intachart, berkata masyarakat Siam di negara ini sudah menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Oleh itu, katanya, tidak wajar mereka mengetepikan begitu saja sumbangan dan jasa kerajaan BN terhadap mereka walaupun hanya golongan minoriti di negara ini.
“Walaupun kita (orang Siam) hanya golongan minoriti, kerajaan BN tidak pernah mengabaikan atau mengamalkan diskriminasi terhadap kita. Malah, kita berterima kasih dan berbangga kerana turut menerima pelbagai kemudahan sebagaimana yang diterima oleh kaum lain yang lebih besar, terutama Melayu dan Cina.
“Antaranya, melantik wakil orang Siam menjadi Ahli Dewan Negara manakala di Perlis, wakil orang Siam dilantik sebagai ahli majlis Kerajaan Tempatan serta pegawai khas menteri besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan masyarakat keturunan Siam di Bilik Gerakan BN di Kampung Guar Syed Alwi, di sini, malam kelmarin.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Machang, Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad serta Yang Dipertua Persatuan Siam negeri Perlis (PSPs), Siw Chun a/p Eam.
Lebih 200 penduduk keturunan Siam termasuk 43 pengundi dari beberapa kampung dalam kawasan pilihan raya kecil Indera Kayangan, hadir pada majlis itu.
Charern yang juga Ahli Dewan Negara, berkata ketika ini ada 50,288 orang Siam di seluruh negara dengan jumlah paling ramai di Kedah, Kelantan dan Perlis manakala selebihnya di Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan.
Mengenai pilihan raya kecil Indera Kayangan, beliau berkata masyarakat Siam di Perlis khususnya di Indera Kayangan tidak mempunyai pilihan melainkan mengundi calon BN, Oui Ah Lan.
“Saya percaya masyarakat Siam di negara ini, termasuk di kawasan Indera Kayangan, Perlis tidak akan membuat pilihan yang salah pada pilihan raya 19 Januari ini.
“Mereka akan keluar beramai untuk memberi sokongan 100 peratus kepada calon BN. Walaupun jumlahnya kecil, undi mereka tetap dianggap penting bagi memastikan kemenangan calon BN,” katanya.
Charern berkata, bagi memastikan calon BN menang, ramai orang Siam dari luar Perlis, termasuk Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan berkampung di kawasan Indera Kayangan sejak beberapa hari lalu.
Sumber: Berita Minggu 13 Jan 2002....
No comments:
Post a Comment