IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Thursday, December 30, 2010

Kepimpinan Dr Mahathir masih diperlukan

22/06/2002 10:21 p.m.

``SAYA melahirkan rasa lega atas keputusan Perdana Menteri untuk menarik balik keputusannya meletakkan jawatan.

``Saya percaya, kita masih memerlukan kepimpinan beliau untuk menerajui negara ini. Semua pihak wajib bersatu padu dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.''

- Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr. Maamor Osman.


``INI satu keputusan yang amat mengejutkan KPPK.

``KPPK mahu Dr. Mahathir terus kekal memimpin rakyat Malaysia. Ini penting kerana kita yakin Dr. Mahathir masih mampu memimpin dan membawa pembangunan kepada negara.''

- Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Tengku Habsah Tengku Petra.


``SAYA bersyukur dengan keputusan Dr. Mahathir menarik balik semua jawatan yang dilepaskannya petang tadi.

``Kami melihat banyak lagi agenda untuk memartabatkan orang Melayu belum selesai. Kita masih memerlukan Dr. Mahathir untuk membimbing orang Melayu untuk keluar daripada kelemahan yang disebutnya.''

- Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Sanip Sarudi.


``KITA amat lega, bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin dengan kehendak rakyat yang inginkan beliau meneruskan kepimpinan negara.

``Keputusan menarik balik semua jawatan dalam parti dan kerajaan oleh Perdana Menteri ini seolah-olah memberi nafas baru kepada rakyat.

``Saya harap rakyat tidak mensia-siakan pengorbanan Perdana Menteri yang tidak berbelah-bagi itu.''

- Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohamed Shafie BP Mammal.


``KEPIMPINAN Perdana Menteri masih diperlukan bagi memastikan kesinambungan dalam kestabilan politik dan ekonomi negara.

``Kewibawaan Perdana Menteri sebagai pemimpin amat menyerlah malah diakui oleh dunia ketika ini... seharusnya kita bersyukur kerana kestabilan akan dikekalkan.''

- Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan.


``IA merupakan satu berita terbaik kepada rakyat Malaysia dan setiap kaum harus mendoakan kesejahteraan Perdana Menteri supaya panjang umur dan memberi kekuatan kepada beliau untuk meneruskan kepimpinan negara.

``Beliau seorang pemimpin yang sangat unik, amat menyerlah dan disenangi oleh semua kaum malah merupakan satu-satunya pemimpin negara membangun yang dihormati dunia.''

- Presiden CUEPACS, Datuk N. Siva Subramaniam.


``SAYA mewakili semua ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) bersyukur kepada Allah kerana telah memberi hidayah kepada Dr. Mahathir untuk menerima keputusan Majlis Tertinggi UMNO agar menarik semula perletakan jawatan beliau.

``Saya juga melihat kegembiraan terpancar pada wajah semua perwakilan dan para pengunjung di PWTC selepas keputusan untuk meletak jawatan Perdana Menteri ditarik balik.''

- Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani.


``KALAU ada kesilapan yang kami orang Melayu lakukan, saya dan ahli-ahli persatuan benar-benar memohon maaf dan dengan hormat meminta beliau meneruskan kepimpinan.

``Orang Melayu semuanya sudah sedar dan insaf malah mahukan Datuk Seri terus menerajui bangsa dan negara.''

- Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir.


``KAMI masyarakat Siam Malaysia menarik nafas lega dan bersyukur atas keputusan Datuk Seri menarik balik pengumuman itu dan meminta beliau terus memimpin rakyat Malaysia.

``Kami sedar kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO tidak pernah mengabaikan hak-hak rakyat Malaysia berbilang kaum termasuklah kaum minoriti di negara ini.''

- Presiden Persatuan Siam Malaysia dan Ketua UMNO Cawangan Kota Giam-Sungai Baru, Kubang Pasu, Datuk Charern Intachat.


``AGENDA perjuangan Melayu yang digagaskan oleh Perdana Menteri belum selesai kerana itu rakyat dan negara ini masih memerlukan lagi kepimpinan beliau.

``Sumbangan beliau masih belum cukup selain daripada semua pihak masih belum bersedia untuk mengambil alih tugas beliau sebagai pemimpin negara. Kita akan mengadakan perhimpunan untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.''

- Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim.

Sumber: Utusan Malaysia; Berita; 22/06/2002 10:21 p.m.

No comments:

Post a Comment