IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Thursday, December 30, 2010

Kampung Titi Akar Pernah Jadi Johan Daftar Pemilih Baru

PENDANG 3 Julai – Kampung Titi Akar, sebuah perkampungan masyarakat Malaysia berketurunan Siam di Parlimen Pendang, Kedah pernah menjadi johan dalam pertandingan mendaftar pemilih baru.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung berkenaan Uwam Din Jom berkata, kampung itu menjadi johan kerana berjaya mendaftar paling ramai pengundi baru berbanding 180 kampung lain di seluruh Parlimen Pendang pada 2001.

Bilangan pengundi baru yang didaftarkan semasa pertandingan anjuran UMNO bahagian Pendang itu melebihi 100 orang.

Kampung Titi Akar, perkampungan Siam yang terbesar di kawasan Parlimen itu kini mempunyai 1,295 penduduk dengan 777 orang daripadanya adalah pengundi.

Uwam, 46, berkata, selain kampung itu, terdapat juga 10 buah perkampungan Siam di kawasan parlimen Pendang dengan penduduk berjumlah 4,894 orang. Pengundi di 11 kampung itu berjumlah 2,715 orang.
Beliau berkata, masyarakat Malaysia keturunan Siam itu bersyukur dengan pembangunan yang terdapat di kampung-kampung mereka walaupun banyak lagi yang boleh dilakukan.

Sebagai contoh, katanya, semua jalan tanah merah di beberapa buah kampung sepatutnya ditar.

Uwam berkata, kebajikan penduduk 11 buah kampung masyarakat Siam itu dijaga oleh sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Penyelarasan Masyarakat Siam.

Sebagai setiausaha jawatankuasa itu, Uwam telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan dewan orang ramai dan mengadakan kelas mempelajari bahasa ibunda mereka di situ.

Kebanyakan penduduk kampung itu yang terdiri daripada pesawah serta penoreh juga meminta kerajaan membuat pembetungan, tali air dan perparitan yang sempurna bagi tujuan pertanian.

Permintaan-permintaan itu agak kurang kedengaran oleh pihak kerajaan apabila kawasan Parlimen itu diwakili PAS, katanya.

Uwam berharap perubahan akan berlaku selepas pilihanraya kecil kawasan itu kelak demi kebaikan para penduduk kampung-kampung berkenaan.

Pilihanraya kecil Parlimen Pendang bakal diadakan bersama pilihanraya kecil kerusi negeri Anak Bukit pada 18 Julai berikutan kematian wakil rakyat bagi kedua-dua kawasan itu Datuk Fadzil Noor yang juga Presiden PAS, pada 23 Jun lepas.

Beliau berkata, para penduduk di situ amat akur dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Boleh dikatakan hampir 85 peratus daripada pengundi Siam di Pendang keluar mengundi pada pilihanraya umum 1999, katanya.

Uwam berkata, satu daripada sifat masyarakat Siam di situ ialah mereka hormat menghormati dan patuh mengikut arah haluan ketua.

Kalau ketua pergi ke kiri, mereka pergi ke kiri. Kalau ketua pergi ke kanan, mereka pergi ke kanan, katanya. – Bernama.

Sumber: Utusan Malaysia, July 04 , 2002.

No comments:

Post a Comment