IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Sunday, December 26, 2010

YOSM Tingkat Pendidikan Kaum Siam

KANGAR, Ahad - Yayasan Orang-Orang Siam Malaysia (YOSM) memberi tumpuan ke arah meningkatkan tahap pendidikan di kalangan penduduk keturunan Siam di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Charern Intachat, berkata langkah itu sebahagian usaha mengangkat martabat serta membolehkan rakyat keturunan Siam di negara ini bersaing dengan kaum lain.

Kita memandang soal pendidikan sebagai penting bagi merealisasikan usaha meletakkan kaum keturunan Siam setanding dengan rakyat Melayu, China dan India serta lainnya.

Malah, kita percaya tanpa pendidikan masyarakat keturunan Siam tidak akan berdaya bersaing dan seterusnya ketinggalan daripada arus pembangunan dan kemajuan negara, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Perwakilan kali 1 Tahun 2000 Persatuan Siam Malaysia (PSM) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Residensi, Jalan Kolam, di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Latib Omar mewakili Datuk Seri Shahidan. Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Siew Chun a/p Eam yang juga Yang Dipertua Persatuan Siam Malaysia cawangan Perlis, turut hadir.

Charern berkata, terdapat lebih 60,000 penduduk keturunan Siam di negara ini ketika ini dengan sebahagian besarnya di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian kecil sahaja daripada jumlah itu iaitu kira-kira lima peratus atau 3,000 orang, mendaftar sebagai ahli persatuan setakat ini.

Datuk Charern yang juga Ahli Dewan Negara, berkata bagi menjayakan matlamat itu, Yayasan berkenaan memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak khususnya untuk menyediakan sumber kewangan mantap.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan kalangan korporat, orang perseorangan dan dermawan di negara ini, untuk tampil membuat sumbangan ikhlas kepada yayasan itu.

Sumber: Berita Harian, March 27, 2000. 

No comments:

Post a Comment