IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Wednesday, December 29, 2010

Lebih Tepat Thai Malaysia Dikategori Berketurunan Thai

Masyarakat Thai adalah golongan minoriti di Malaysia. Terdapat seramai lebih kurang 60,000 orang masyarakat Thai di Malaysia. Kebanyakkannya menetap di kawasan utara Semenanjung Malaysia. Walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan lebih 40 tahun, masyarakat kita di Malaysia masih dilema dalam menetapkan keturunan mereka. Ada yang menggunakan "Thai" dan ada yang menggunakan "Siam". Persoalannya Thai atau Siam?

Setelah YB. Senator Datuk Charern Intachat mengambil alih kepimpinan Persatuan Thai Malaysia (PTM) yang ditubuhkan pada 6 September 1976 maka persatuan tersebut telah ditukarkan nama kepada Persatuan Siam Malaysia (PSM) pada tahun 1999.  Sejak itulah berlakunya percanggahan pendapat dalam penetapan keturunan di kalangan masyarakat Thai di Malaysia. Inilah kesilapan yang besar yang dilakukan oleh para pemimpin masyarakat ini. Mereka telah membuat keputusan tanpa usul periksa.

Sepanjang penggunaan nama PTM selama 25 tahun, tidak ada sebarang masalah yang timbul. Tetapi setelah penukaran nama persatuan dilakukan, maka wujudlah masalah ini. Golongan yang menyokong penggunaan Siam menyatakan bahawa penggunaan Thai akan membawa masalah dalam proses permohonan tanah rizab Melayu. Penggunaan  Thai akan dianggap sebagai pendatang asing. Penggunaan Thai bercanggah dengan pendapat orang tua-tua. Persoalannya, betulkah penggunaan Thai membawa masalah? Kalau betul, kenapa masalah ini tidak berlaku dalam tempoh 25 tahun dahulu?

Izinkan saya mencari jawapan kepada persoalan tersebut. Akhirnya saya jumpa jawapannya dalam buku kamus bahasa Thai. Menurut kamus tersebut perkataan "Siam" adalah nama negara iaitu negara Siam sejak zaman pemerintahan Raja Mongkut. Kemudiannya Negara Siam ditukarkan nama kepada Thailand pada 24 Jun 1939 dan kekal hingga sekarang. Sementara perkataan "Thai" pula bermaksud kebebasan adalah nama bangsa atau suku kaum. Maka jelaslah bahawa masyarakat kita di Malaysia bukannya berketurunan Siam. Kita adalah warganegara Malaysia berketurunan Thai.

Langkah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia menetapkan kategori keturunan kita sebagai Thai adalah tepat sekali. Begitu juga PBTM, Ruamthai dan pihak wat yang menggunakan Thai adalah tindakan yang bijak dan tepat.

Semoga penjelasan ini, dapat memberi gambaran yang jelas kepada pelbagai pihak mengenai status keturunan kita di Malaysia.

Rujukan: Kamus Bahasa Thai (Photcananukrom);Tahun 2525 (1982); m/s 414 & 802  dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.
(Artikel ini disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 Februari 2001 dan Berita Harian pada 14 Februari 2001) 

No comments:

Post a Comment