IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Sunday, December 26, 2010

Rencana: Songkran Dirai Penuh Simbolik

Air dan fungsinya mensucikan tidak pernah tertinggal daripada amalan istiadat peradaban manusia. Tanpa mengenal ras, warna kulit dan agama, air terus menjadi bahan penting dalam kehidupan manusia biarpun kewujudannya kadang-kadang dipandang rendah. Air terlalu umum sifatnya. Air bukan sekadar membersih, malah air boleh menjadi bahan penting dalam mengeratkan hubungan sesama insan selain membangkitkan kesedaran, perasaan sayang dan mungkin rasa hormat.

 Seperti masyarakat lain yang mengangkat martabat air ke peringkat paling tinggi, kelompok keturunan Thai atau Siam di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak juga mempunyai pengertian sendiri mengenai air. Air bagi mereka bukan sekadar unsur pembersih, malah ia lambang kehormatan diri serta tanda ketulusan hati. Keheningan pagi di Kampung Tasek yang menjadi tempat bernaung lebih 1,500 penduduk keturunan Siam warganegara Malaysia, nyata dicemburui oleh kemeriahan penghuninya yang meraikan Pesta Songkran 1999. Apakah keistimewaannya Songkran dan bagaimana pula perayaan yang diraikan di Kampung Tasek baru-baru ini mempunyai kaitannya dengan air?

 Songkran ialah perayaan menyambut tahun baru mengikut kalender Siam. Lazimnya Songkran disambut empat hari berturut-turut mulai 10 April setiap tahun. Bagaimanapun, mengikut perkiraan kalender Buddha, tarikh sebenar tahun baru ialah pada 13 April. Mengikut amalan tradisi, Songkran disambut dengan golongan muda memohon maaf serta meminta restu daripada golongan tua iaitu ibu bapa, guru dan sami. Tiga kelompok individu itu dianggap penting dalam kehidupan masyarakat Thai yang masih menekankan soal adab, kesopanan dan hormat menghormati.

 Sebagai simbol kemaafan, selepas memohon keampunan dan restu, golongan muda perlu memandikan golongan tua dengan menyiram air bersih yang dicampur pewangi di atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang lain. Tetapi, sebelum melakukan semua itu keizinan perlu dipohon bagi mengelak salah faham selain menunjukkan rasa hormat. Di sinilah akan berputiknya rasa keakraban, perasaan kasih sayang dan tanggungjawab antara generasi muda dan tua. Sewaktu dimandikan, golongan tua akan mendoakan kebahagiaan terhadap generasi muda, anak serta cucu. Mengikut kepercayaan masyarakat Siam, doa golongan tua yang dimandikan akan termakbul serta menjanjikan kehidupan lebih mulia. Sebaik saja selesai dimandikan, golongan tua perlu dikenakan pakaian baru dan bersih sebagai lambang menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan oleh mereka selama ini.

 Bagaimanapun, dalam arus pemodenan sekarang, amalan tradisi itu jarang lagi dipatuhi penduduk Thai, sebaliknya memadai dengan meminta maaf serta menyiram air ke tapak tangan dan kaki generasi tua. Penduduk asal Kampung Tasek yang turut mengikuti perkembangan sejarah penduduk Thai di Malaysia, Verak Din Chui, 47, berkata Pesta Songkran diadakan di Kampung Tasek sejak lebih 20 tahun lalu dan ia sudah menjadi acara wajib bagi penduduk kampung. Lebih menggembirakan, acara tahunan itu mendapat perhatian daripada penduduk Thai yang menetap di negeri lain terutama di utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Malah tahun ini, dianggarkan lebih 3,000 masyarakat Thai warganegara Malaysia berkumpul di Kampung Tasek bagi meraikan Pesta Songkran, katanya ketika ditemui.

Sumber: Berita Minggu (Ruangan rencana), June 13, 1999. 

No comments:

Post a Comment