IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Thursday, December 30, 2010

Perkampungan Kebudayaan Siam Produk Baru Pelancongan Kedah

PENDANG 18 Mac - Negeri ini akan mempunyai satu lagi tarikan pelancongan dengan pelaksanaan sebuah pusat pelancongan yang akan memfokuskan kehidupan dan kebudayaan masyarakat Siam. Projek tersebut dicadang akan diwujudkan di Sungai Tiang dekat sini tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Md. Rozai Shaffian berkata, projek itu yang lebih dikenali sebagai perkampungan kebudayaan Siam turut menyediakan para pelawat dengan program Home Stay untuk mereka tinggal bersama penduduk. Kewujudan perkampungan tersebut memberi pilihan kepada pelawat asing untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat Siam di Malaysia, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan selepas majlis penyerahan bantuan basikal dan beg sekolah kepada pelajar miskin Sekolah Kebangsaan Hujung Keton oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kubur Panjang dekat sini hari ini. Daripada 33 pelajar yang menerima bantuan, 10 orang mendapat basikal sementara 23 lagi memperolehi beg sekolah. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah JKM Kedah, Said Man.

Bagaimanapun jelas Md. Rozai, walaupun cadangan yang akan merangkumi kawasan Mukim Padang Kerbau seluas kira-kira lima kilometer persegi itu dipersetujui secara dasarnya, namun ia masih lagi dikaji oleh kerajaan negeri. Menurut Md. Rozai, di daerah Pendang sahaja terdapat 10 perkampungan Siam yang masih mengekalkan ciri-ciri kehidupan dan kebudayaan mereka sehingga sekarang. Keseluruhan penduduk berketurunan Siam di sini berjumlah 13,000 orang, ujarnya.

Salah satu perkampungan yang kemudahannya tidak terdapat di tempat lain di Malaysia ialah Wat Tong Prok. Wat ini mempunyai rumah ibadat, tempat pembakaran mayat, perkuburan yang begitu cantik, jelasnya. Apabila projek ini siap kelak, perkampungan Siam bukan sahaja akan diserikan dengan aktiviti kesenian semata-mata tetapi pelancong juga boleh menikmati buah-buahan segar dari dusun yang disediakan selain berkelah di air terjun berdekatan.

Sumber: Utusan Malaysia, March 19, 2001

No comments:

Post a Comment