IKUTILAH BLOG INI SETIAP HARI. PENA AKAN CUBA UNTUK POST (UPDATE) SEGALA KERATAN BERITA YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT SIAM KITA INI. BUAT MASA SEKARANG, PENA HANYA AKAN POST KERATAN BERITA LAMA-LAMA TERLEBIH DAHULU. WALAU BAGAIMANAPUN, HARAP BERSABAR JE UNTUK MENDAPAT KERATAN BERITA YANG TERKINI.

Wednesday, December 29, 2010

Persatuan Siam Malaysia (PSM) Kekalkan Istilah Siam

KANGAR 16 FEB - Persatuan Siam Malaysia (PSM) akan mengekalkan penggunaan istilah Siam bagi merujuk kepada kaum itu meskipun ada cadangan supaya ia ditukar kepada Thai. Setiausaha Agungnya, Siw Chun a/p Eam berkata, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan kerana ia telah diterima pakai oleh kebanyakan masyarakat keturunan Siam di negara ini.

Baru-baru ini Setiausaha Agung Persatuan Belia Thai Malaysia, Manit a/l See Nam mempersoalkan penggunaan nama Siam sedangkan menurutnya kaum itu lebih sesuai dirujuk sebagai kaum Thai. Dalam ruangan forum sebuah akhbar tempatan 8 Februari lalu, Manit mempersoalkan pertukaran nama Persatuan Thai Malaysia (PTM) kepada PSM hingga boleh menimbulkan kekeliruan identiti masyarakat itu.

Ketika ditemui Bernama di sini hari ini, Siw Chun berkata, sebutan Siam telah dipersetujui dalam perjumpaan membabitkan kira-kira 30 pemimpin masyarakat Siam seluruh negara di Wat Teluk Wanjah, Alor Setar pada 1996. Sebutan Siam telah diguna pakai sebagai pengenalan identiti keturunan Siam di negara ini sebagai kaum Bumiputera bukan Melayu sebagaimana termaktub dalam Enakmen Tanah Negeri Kedah dan Enakmen Tanah Persekutuan.

Merujuk fakta sejarah, Chun berkata, Thailand pernah dikenali sebagai Siam sebelum revolusi 1932 kerana penduduk utamanya adalah berketurunan Siam. Chun yang juga pengerusi PSM Perlis berpendapat, istilah Thai hanya sesuai bagi merujuk kepada pelancong atau kumpulan orang atau warganegara Thailand yang melawat negara ini.

Chun berkata, orang Siam di Malaysia tidak terbabit dengan revolusi 1932 dan tidak wajar nama bangsa itu diubah sebagaimana yang berlaku di Thailand. Menurut beliau, jika dirujuk kepada perlembagaan negara terutama yang berkaitan dengan tanah iaitu Enakmen Tanah Simpanan Melayu 1913, perkataan atau istilah Siam juga digunakan untuk mereka.

Katanya, PSM kini mempunyai 4,000 anggota di seluruh negara.-Bernama.

Kenyataan akhbar oleh Setiausaha Agung PSM, Siw Chun a/l Eam pada 16 Februari 2001 dan disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Februari 2001.

No comments:

Post a Comment